Assalamualaikum semua. Saya ambil kesempatan ini untuk kongsikan sedikit pengalaman saya yang baru 2 minggu 'bertugas' di hospital. Pengalaman yang menemukan saya dengan tujuan saya dalam hidup. InshaAllah saya pegang sampai mati tujuan hidup ini.
Nama pak cik tu N. Pak cik N ada banyak penyakit. Sakit kencing manis, strok, sakit paru-paru dan mungkin ada lagi yang lain yang saya tak tahu. Sudah 2 hari saya di wad respiratory, 2 hari saya tengok pak cik N. Esok saya nak jumpa pak cik N lagi, untuk penuhi tujuan hidup saya. Jika pak cik N masih ada di situlah, kebiasaannya pesakit dalam 2, 3 hari dah keluar wad.
Pak cik N ni muka dia garang, rambut dia beruban, kusut masai sikit, yalah dah umur 70 tahun. Bekerja sebagai seorang nelayan. Gelap kulitnya. Pagi Rabu saya jumpa pak cik N nak buat tugasan 'history taking'. Senang kata, nak ambik catatan atau 'report' penyakit pak cik itulah, yang semua pelajar medik kena buat. Saya pergilah ke arah pak cik N untuk ambil medical history dia dan buatlah check-up sikit-sikit untuk penyakit yang berkenaan. Saya pergi dengan seorang kawan.
Kawan itu yang mulakan dulu. Bertanya izin bolehkah nak tanya-tanya dia sikit dia sakit apa dan buat physical examination selepas itu? Pak cik N kata boleh. Tapi mak aih, susah betul nak faham pak cik N cakap apa, sebab suaranya kecil dan sepertinya dia ada kesukaran nak sebut perkataan dengan jelas. Biasanya masalah ini ada pada pesakit strok seperti pak cik N.
Setelah agak lama berbual dengan pak cik N baru kami tahu yang pak cik N ni ada berbagai-bagai penyakit. Sebagai pelajar, biasanya untuk kes macam ni bukanlah kes yang paling bagus untuk di'present' di hadapan doktor. Sebab kes yang diinginkan kami sekarang ialah kes berkaitan masalah respiratori / pernafasan sahaja, tapi pak cik N ni ada berbagai-bagai penyakit, agak kompleks untuk dibincangkan bersama doktor nanti. Jadi kawan saya mula mengundur diri di tengah-tengah, dan saya pula masih tetap nak teruskan dengan pak cik itu. Sebab fikir saya, selepas ini kalau buat check up, mungkin banyak abnormalities yang saya boleh jumpa dan saya boleh belajar dari situ.
Ternyata benarlah sangkaan saya, memang ada abnormalities yang saya jumpa terutamanya bila saya dengar bunyi nafasnya menggunakan stetoskop. Saya rasa agak teruja sebab dari situlah saya boleh mengagak bahagian mana yang sakit di pak cik ni, bahagian paru-paru sebelah mana, di posisi mana dan lain-lain. Pendek kata, daripada pak cik N inilah saya belajar bunyi paru-paru yang tak normal macam mana, sebab sebelum ni hanya dengar di video Youtube sahaja.
Selepas itu pak cik N tanya saya, "Saya ada apa-apa ka doktor?". Sebenarnya soalan itu masih agak sukar untuk saya menjawabnya. Sebab? Pertama sekali saya masih pelajar, pelajar tidak dibenarkan untuk sesuka hati memberi diagnosis penyakit. Kedua, memang ada masalah di bahagian pernafasan pak cik N, tapi masalah apa? Jangkitan kumankah? Kanser kah? Ada air kah? Jawapan itu hanya boleh dijawab selepas buat 'follow up' dengan ujian lain macam x-ray, ujian darah dan lain-lain yang berkaitan. Macam mana kalau saya kata ada kuman tapi sebenarnya tak ada? Bukankah pak cik N akan sedih tanpa sebab yang betul dan saya pun boleh dikenakan tindakan? Gitu.
Itu pun juga pertama kali ada pesakit yang tanya saya dia sakit apa? Kata pak cik N, dia tak tahu dia sakit apa. Aneh juga sebenarnya, sebab biasanya bila pesakit sudah ada di wad, pastilah dia sudah tahu dia sakit apa. Ada satu kemungkinan sini, iaitu doktor yang merawatnya sebelum ini tidak berkomunikasi dengan pak cik ni dengan jelas. Pak cik N kata doktor bagitahunya dia ada angin ahmar. Tapi pak cik N kata dia tak ada sesak nafas pun. Sebenarnya angin ahmar itu strok, tak ada masalah dengan bahagian pernafasan. Mungkin pak cik ini tak jelas maksud angin ahmar itu.
Saya pun bagitahu sajalah, "Setakat ini saya hanya tahu pak cik mungkin ada masalah di paru-paru kiri, tapi saya tak boleh sahkan lagi sebab mesti ada check-up seterusnya macam x-ray dan lain-lain.". Sebenarnya boleh sahaja saya selak medical report di hujung katilnya untuk membaca masalahnya dan menceritakan kepadanya dia sakit apa, tapi ketika itu masa tidaklah berapa mengizinkan. Setelah habis physical examination, saya ucap terima kasih pak cik dan pergi.
Seronok saya hari itu. Banyak yang saya belajar, semua sebab medical conditions yang ada pada pak cik N itulah. Terasa seperti produktif gitu.
Keesokan harinya (hari ini), saya jumpa balik pak cik itu. Kali ini datang hanya nak dengar lagi bunyi paru-parunya. Agak mengejutkan, kali ini ada dua tambahan bunyi yang abnormal. Wheezing and crackles. Kebiasaannya ini menandakan adanya sakit Chronic Obstructive Pulmonary Diseases (COPD) yang biasanya dihidapi orang yang kuat merokok. Ya, pak cik ini adalah perokok dari umurnya 9 tahun.
Setelah itu saya tengok x-ray, memang tepat apa yang saya sangka. Memang ada bahagian paru-paru pakcik yang tak normal. Saya rasa lega sebab tepat segala diagnosis yang saya buat dalam kepala.
Petang ini tadi saya ada terbaca satu pos di Facebook, seorang doktor yang tulis. Dia juga merupakan pensyarah. Dia menulis tentang betapa pentingnya sifat empati daripada seorang doktor dan bukan setakat hanya tahu buat prosedur perubatan tetapi berhati robot. Hanya bertugas untuk rawat sakit namun melupakan hakikat bahawa ada jiwa dan hati seorang insan disebalik badan yang berpenyakit itu. Jujurnya saya rasa seperti tak adil pada pak cik N. Melalui pak cik N, banyak yang saya belajar. Menurut doktor itu, antara cara untuk menanam sikap empati ialah tegurlah pesakit di wad walaupun tak buat apa-apa physical examination pun. Tegur-tegur sahaja.
Esok hari kalau saya jumpa pak cik N, saya nak tegur dia. Tanya hari ini masih sakit ka? Bukan kepada pak cik N sahaja, tapi kepada pesakit lain juga.
Jujurnya, memang dapat dilihat karakter 'robot' pada sesetengah jururawat dan doktor di wad ini. Ada yang marah pesakit, ada yang memaksa pesakit, ada yang menjerit kepada pesakit, ada yang memukul pesakit. Mereka tak dapat melihat pesakit sebagai seorang yang berjiwa, berperasaan dan seorang insan yang unik. Kerana pesakit bukan hanyalah pesakit, namun mereka juga ibu, bapa kepada anak yang merindui bapanya yang sekian lama sudah tak balik di rumah kerana kanser paru-paru tahap 4, seorang datuk yang penyayang, seorang guru, seorang janda, seorang imigran yang datang ke sini untuk menyara keluar yang jauh di negara lain.
Jadi saya mula ubah cara saya berfikir. Tujuan saya datang ke hospital bukan sahaja untuk belajar mendapat diagnosis yang betul dan buat physical examination dengan tepat, tapi juga untuk menjadi seorang doktor yang berakhlak, lembut hati dan tabah. Ini bukan setakat tujuan hidup saya, tapi tujuan mati saya. Kerana seterusnya selepas ini, untuk seluruh hidup saya sehingga saya mati, saya bekerja untuk orang-orang sakit yang tak berdaya. Sampai mati. Saya berdoa dengan pertolongan Allah agar menjadikan saya doktor yang mempunyai sebaik-baik akhlak, paling lembut hatinya dan mempunyai empati yang tinggi. Sedih dan retak hati saya bila pernah ada yang menyangka saya akan menjadi seorang doktor yang tak profesional seperti akan memarahi pesakit. Tak apalah, yang penting Allah tahu hati saya dan siapa saya sebenarnya. Itu yang paling utama. Manusia datang dan pergi, bahkan ahli keluarga dan orang tersayang pun hanya pinjaman. Allah sahaja yang kekal.
Memang pelik sedikitlah untuk jadi seorang yang 'pelik' antara kawan-kawan yang lain. Tak ada lagi yang hanya datang ke pesakit semata-mata nak tanya khabar. Kebiasaannya semua datang ke pesakit sebab nak buat history taking dan praktis physical examination. InshaAllah saya akan ingatkan diri saya setiap kali ke hospital agar bukan sahaja untuk mengasah kepakaran, tapi juga untuk menjadikan saya seorang yang berakhlak mulia, memahami dan berbudi. Untuk sentiasa beringat bahawa di sebalik baju wad yang seragam itu, ada seketul hati dan sekeping jiwa.
Jujurnya sekali lagi memang agak peliklah untuk buat benda yang berbeza sedikit dari kawan yang lain. Apatah lagi tak ada pun yang meniupkan semangat ini. Terasa seperti bersendirian. Lumrah hidup. Seperti kisah nabi Yusuf 'ahsanul qasas', sentiasa bersendirian dalam dugaan hidup namun Allah sentiasa bersamanya dalam setiap dugaan.
Amal yang baik akan kekal. Ilmu dunia akan tinggal di belakang. Itulah prinsip hidup saya mulai hari ini.
No comments
Post a Comment