Saya perasan yang sepanjang saya masuk ke dalam wad-wad di hospital, mesti ada sesetengah pesakit yang dilawati oleh isteri masing-masing. Kalau pesakit perempuan, jarang juga saya tengok kalau suami yang datang. Tapi fahamlah, mungkin masa hari bekerja pastilah suami pergi bekerja.
Pernah saya tengok di dalam wad ada pesakit lelaki menangis-nangis dalam pelukan isterinya.
Tadi saya berjumpa dengan pesakit yang ada depresi sejak 20 tahun yang lalu kerana bercerai dengan isteri pertamanya. Sampai ke hari ini, dia bergantung dengan ubat tidur bila nak tidur malam-malam, selama 20 tahun. Kalau tak makan ubat tidur, memang tak boleh tidur langsung. Sekarang sudah beristeri lagi, tapi kesan ditinggalkan isteri pertama telah memberikan kesan yang sangat-sangat mendalam padanya. Kawan saya tanya, kenapa tak tanya pesakit tu cerai sebab apa? Malaslah nak tanya, tak profesional kalau nak korek kisah peribadi pesakit yang tak ada kena mengena dengan diagnosis yang berkaitan. Macam mak cik bawang pulak.
Seorang pesakit lain pula ceritanya ada dua isteri. Biarpun sudah ada isteri kedua, isteri pertama masih sangat muda lagi dan baru melahirkan anak 5 bulan lepas. Pesakit ini pula diperiksa oleh kawan saya, jadi ini kawan saya yang cerita. Ceritanya, pesakit ini selalu duduk di rumah isteri kedua sahaja. Kerana isteri kedua suka masak sedap-sedap untuk dia, walaupun ada sesetengah makanan mestilah dikawal dalam diet suami sebab suami ada strok. Isteri pertama pula sangat-sangat menjaga makan si suami sebab itulah tak nak masak yang seperti suami nak. Namun apabila dah masuk hospital, hanya isteri pertama yang menemani suami, duduk di sisi dan jaga si suami dari pagi biarpun ada anak 5 bulan di rumah. Isteri kedua datang hanya tengok, beberapa minit kemudian balik terus.
Saya cuba fikir dan letakkan diri saya dalam situasi isteri pertama. Bayangkanlah pertama kali suaminya kata, "Abang nak kahwin lagi.". Ohh pasti sakit. Sudahlah masih muda, cantik, takkah isteri pertama pernah terfikir, "Apa yang aku kurang sampai suami nak kahwin lagi?". Saya perempuan, mustahil kalau tak ada rasa cemburu sikit pun.
Sebagaimana Siti Sarah (isteri pertama) menyuruh Nabi Ibrahim menghalau Siti Hajar (isteri kedua) dan tinggalkan beliau dan anaknya Ismail di sebuah padang pasir, tanpa manusia, tanpa air, tiada apa. Semuanya bermula sebab cemburu, kerana Siti Hajar mampu memberikan anak kepada suaminya. Namun arahan untuk meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di tengah padang pasir turut merupakan suruhan Allah.
Sebagaimana juga sepanjang perkahwinan A'isyah dan Rasulullah S.A.W., banyak juga episod cemburu sesama madu. A'isyah merupakan isteri Rasulullah yang paling kuat cemburu. Kerana paling muda. Biasalah, perempuan muda mana yang tak cemburu? Tak ada.
Secara tuntasnya, boleh saya katakan memang ada signifikannya entiti seorang perempuan dalam hidup ini. Bahkan kesannya terhadap masyarakat adalah sangat mendalam. Hal ini disokong dalam khutbah terakhir Rasulullah S.A.W. Apabila bercakap tentang khutbah terakhir, apa yang kita kena tanamkan dalam kepala ialah khutbah ini adalah khutbah dengan isi yang paling, paling penting.

"Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia."
No comments
Post a Comment